Wednesday, February 11, 2009

Rakyat Malaysia tidak perlu visa ke Britain (UK)

KUALA LUMPUR 10 Feb. – Kerajaan United Kingdom (UK) memutuskan untuk tidak mengenakan keperluan visa kepada pemegang pasport Malaysia, menurut Kementerian Luar dalam kenyataannya hari ini.

Sehubungan itu, menurut kenyataan tersebut, Malaysia akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Kerjasama Imigresen dengan UK tidak lama lagi bagi meningkatkan kerjasama dalam bidang berkenaan.

“Malaysia mengalu-alukan keputusan kerajaan UK itu dan amat gembira atas kerjasama serta bantuan yang diberikan pihak berkuasa UK dalam perkara ini,’’ menurut kenyataan itu.

Kerajaan UK sebelum ini merancang menguatkuasakan syarat visa ke atas rakyat Malaysia yang akan memasuki negara itu dan memberikan tempoh enam bulan dari Disember tahun lalu untuk menyelesaikan masalah rakyat Malaysia yang tinggal melebihi tempoh.

Kementerian Luar bagaimanapun meminta kerajaan UK menangguhkan syarat itu bagi menyelesaikan masalah tersebut. Satu laporan menyebut lebih 30,000 rakyat Malaysia tinggal melebihi tempoh di negara itu.

Kenyataan itu menambah, melalui MoU tersebut, Malaysia akan memastikan tahap keselamatan yang tinggi di semua lapangan terbang antarabangsa bagi menghalang negara ini menjadi pusat transit pendatang tanpa izin yang ingin memasuki UK.

“Malaysia akan menggunakan pengalamannya dalam perkara ini untuk menghadapi cabaran-cabaran baru isu migrasi pada masa hadapan,” jelas kementerian itu.

Kenyataan itu menyebut, pihak berkuasa Malaysia juga akan terus mengenakan hukuman kepada mereka yang tinggal melebihi tempoh dibenarkan dan bekerja secara haram di UK.Dengan kata lain,tidak boleh mana-mana pemegang passport Malaysia bekerja secara haram di Uk.

“Usaha juga akan terus dilakukan bagi meningkatkan kempen kesedaran rakyat negara ini supaya tidak melanggar peraturan imigresen UK,” tambah kenyataan itu.

Dipetik dari Utusan Malaysia Online.

1 comment:

  1. hye..hana here..juz wanna tell u dat i view ur blog..erm..i guess u can find my blog after diz,ryte?..(^_^)

    ReplyDelete

carian